16 Feb 2013

Kenyataan Media DATO’ SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL, ISU KEBAJIKAN KAKITANGAN KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH (KUIN)



Y.BHG DATO’ SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL

KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA

 ISU KEBAJIKAN KAKITANGAN KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH (KUIN)

Pergerakan Wanita UMNO mengikuti dengan dekat isu kebajikan kakitangan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang teraniaya akibat kelemahan pengurusan tertinggi kolej sehingga terpaksa mengadakan demonstrasi, membuat laporan polis dan terbaru membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja bagi menuntut gaji bulanan yang sering dibayar lewat sejak setahun lalu.

Kami melihat isu kakitangan KUIN menuntut hak dan kebajikan mereka adalah isu kemanusiaan kerana selain daripada lewat dibayar gaji, kakitangan juga berdepan masalah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan Lembaga Tabung Haji serta ansuran bank tetapi malangnya mereka kini diancam dengan tindakan tatatertib.

Tindakan tersebut membuktikan pengurusan tertinggi KUIN bukan sahaja tidak peka dengan nasib kakitangan mereka tetapi tiada niat mahu menyelesaikan isu berkenaan. Pengurusan tertinggi KUIN sebaliknya mahu menggunakan tindakan tatatertib bagi menutup mulut kakitangan yang berjuang bagi mendapatkan hak dan kebajikan mereka.

Sehubungan itu atas dasar kemanusiaan, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia menawarkan khidmat nasihat guaman percuma kepada kakitangan KUIN kerana kegagalan pihak pengurusan tertinggi KUIN membayar gaji mengikut tarikh sepatutnya, menyalahi Akta Buruh. Khidmat nasihat guaman percuma ini adalah bertujuan memastikan hak dan kebajikan kakitangan dan saraan hidup keluarga mereka terbela.

Pada masa yang sama, Pergerakan Wanita UMNO juga menyelar kegagalan dan sikap membisu Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak yang dilihat sengaja lepas tangan dalam isu hak dan kebajikan kakitangan KUIN, walaupun didesak pelbagai pihak agar campur tangan.


SHAHRIZAT ABDUL JALIL

15 Februari 2013  

0 comments:

Post a Comment